Israel tutup sektor perdagangan Palestin 33 hari
4,000 trak dilarang masuk ke gudang dan pelabuhan

GAZA, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Penutupan sektor perdagangan secara berterusan di Palestin memburukkan lagi keadaan ekonomi penduduk di Semenanjung Gaza, kata Jawatankuasa Popular Menentang Penjajahan (PCAGS).
Lintasan Karm Abu Salem atau Kerem Shalom, kini ditutup selama 33 hari mengakibatkan pengurangan sistem janakuasa elektrik dan krisis bahan bakar di wilayah terbabit.
PCAGS berkata, pemilik barangan keperluan asas telah mengalami kerugian besar disebabkan kira-kira 4,000 trak yang membawa muatan itu dilarang masuk ke gudang dan pelabuhan.
Selain itu, beberapa sektor perniagaan juga terpaksa ditutup kerana kekurangan bahan untuk beroperasi, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran yang kini telah mencapai 65 peratus.
Malah, barangan bantuan termasuk makanan yang diimport turut mengalami kerugian akibat penutupan berkenaan.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa, Israel telah menggunakan kaedah penutupan itu bagi mengugut penduduk Palestin supaya bersetuju dengan syaratnya dalam rundingan pasca gencatan senjata.
Israel yang melancarkan serangan udara di Gaza selama 11 hari pada Mei lalu telah membunuh 254 orang termasuk 11 kanak-kanak- Agensi