Berita Utama

Majikan digalak perkenal konsep ‘duta pekerja’ tingkat vaksinasi

Beri pendidikan positif berkaitan fakta vaksinasi dalam kalangan pekerja

BANGI, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Majikan berada pada kedudukan ‘paling dekat’ dengan pekerja sebagai penggerak aset organisasi dalam memastikan penerimaan vaksinasi secara menyeluruh dalam kalangan pekerja.

Perkara itu adalah demi mengoptimumkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau, Perlis, Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, majikan boleh mengambil tindakan termasuk memberi pendidikan positif berkaitan fakta vaksinasi dalam kalangan pekerja.

Katanya, ia termasuk inisiatif majikan yang perlu terus berkongsi maklumat penting dan boleh dipercayai berkenaan aspek keselamatan, kesihatan, keberkesanan serta kesan sampingan melalui pengambilan vaksin.

“Pakar bidang boleh dipanggil, misalnya untuk mengadakan perbincangan bersama panel terdiri doktor dan pihak kesihatan awam untuk berkongsi maklumat saintifik dan menjawab pertanyaan pekerja berkaitan kepentingan vaksinasi,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Muhammad Aiman turut menyarankan majikan untuk meminta pekerja berkongsi pengalaman vaksinasi dengan rakan sekerja, iaitu memperkenalkan konsep ‘duta pekerja’ sebagai wakil bagi menjawab segala persoalan yang timbul.

Seiring peredaran masa, tambahnya, pengurusan sumber manusia strategik melalui perancangan terhadap vaksinasi pekerja yang lebih dinamik harus ditekankan dalam mewujudkan suasana harmoni di antara majikan dan pekerja.

“Bagaimanapun, situasi semasa digambarkan melalui hasil kaji selidik terkini oleh Employment Hero mengenai ‘Impak COVID-19 kepada Pemilik Perniagaan dan Pekerja’ mula menampakkan kesan positif dengan 70 peratus daripada keseluruhan akan mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk semua kakitangan mereka.

“Sememangnya kita belum menang. Cabaran utama dalam hal ini adalah menguruskan sumber manusia dan apakah fungsi boleh dilaksanakan majikan bagi menyokong usaha gigih kerajaan dalam membendung penularan pandemik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button