Berita Utama

PEMBELA lancar tabung kilat bantu kos ikat jamin ‘rider’ Food Panda

Sasar RM20,000 bantu kos ikat jamin RM3,000 hingga RM4,000 seorang

BANGI, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Sekretariat Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggerakkan tabung kilat secara atas talian, bagi mengumpul sumbangan membantu ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sehingga RM20,000 bagi membantu ikat jamin lima individu berkenaan dengan kos RM3,000 hingga RM4,000 seorang.

Beliau berkata, wakil peguam PEMBELA diketuai Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi, untuk melihat lanjut penahanan lima penghantar makanan Food Panda, semalam.

“Kita dimaklumkan bahawa mereka ini akan direman selama dua hari, sepatutnya direman empat hari tetapi atas desakan peguam, alhamdulillah dikurangkan dua hari.

“Mereka ini dijangka diikat jamin dengan kos RM3,000 hingga RM4,000 seorang. Namun, mereka tiada wang sebanyak itu lebih-lebih lagi mereka hilang pendapatan kerana direman ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, jika kutipan kurang daripada jumlah disasarkan, pihaknya akan menambah dan sekiranya melebihi daripada kos sepatutnya, PEMBELA akan menyerahkan wang itu sebagai belanja sara hidup kepada mereka yang hilang pendapatan.

“Ada dua cara untuk anda menyumbang, iaitu melalui online bit.ly/BelaRiderKalimahAllah atau bank-in terus ke akaun CIMB PEMBELA 8604296996 (perlu maklum ke [email protected]).

“Semoga semua usaha kecil kami ini membuahkan hasil dan diredai Allah,” katanya.

Semalam, polis menahan lima penghantar makanan dan seorang pelanggan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sensitiviti agama di Sungai Way, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berhubung tindakan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentu sensitiviti agama kira-kira jam 2.30 petang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button