Berita Utama

Jualan makanan halal negara dijangka capai RM50 bilion

Pelbagai inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia

NILAI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Sektor makanan halal dalam negara dilihat terus berkembang dengan jualan makanan halal di Malaysia dijangka mencecah RM50 bilion pada tahun ini sekali gus berupaya menjadi pusat industri halal global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, untuk tujuan itu pelbagai inisiatif dilancarkan kerajaan bertujuan mempertingkatkan kualiti produk halal dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Ini termasuk penganjuran Karnival Mega Fatwa dan Halal Peringkat Kebangsaan seperti ini yang bertepatan dengan semangat yang ingin dibawa iaitu semua pihak berkepentingan bergabung tenaga, usaha dan idea mengangkat agenda kesedaran halal negara kepada masyarakat.

“Kita juga melaksanakan dan memperkasa pelbagai program pendigitalan melalui aplikasi sistem MyeHALAL yang membantu usahawan dalam menjimatkan masa dan menyenangkan proses memohon persijilan Halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Fatwa dan Halal Peringkat Kebangsaan 2023 serta melancarkan Sahabat Halal IPT di Universiti Sains Islam Malaysia di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga membangunkan dua aplikasi halal Malaysia iaitu SmartHalal dan Verify Halal yang menjadi rujukan pengguna dan industri bagi memperoleh info berkaitan pensijilan halal negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Sahabat Halal IPT akan bertindak sebagai jurucakap kepada JAKIM dan jabatan agama negeri-negeri bagi memberikan penjelasan dan ilmu tepat berkaitan isu dan pengurusan halal dalam negara khususnya kepada komuniti pelajar.

“Dalam konteks ini kita nak sampaikan dakwah dengan pelbagai cara terutama melalui media sosial, anak-anak muda mereka pakar teknologi, jadi saya harapkan dengan ilmu tentang pengurusan halal itu dapat dioptimumkan contohnya melalui penggunaan TikTok yang lebih rapat dengan mereka.

“USIM sebagai perintis dan harap banyak lagi institusi pengajian tinggi termasuk swasta akan sertai. Kita membangunkan satu model yang seragam, kita harapkan USIM menjadi pusat penyelarasan dan membangunkan modul untuk latih Sahabat Halal IPT,” katanya menambah seramai 39 mahasiswa USIM menjadi Sahabat Halal IPT setakat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan JAKIM  dalam masa terdekat akan memperhalusi isu berkaitan waris perlu membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditinggalkan si mati.

“Sebelum perkara ini dibawa Jawatankuasa ke MKI, ia perlu mendapatkan pandangan panel pakar terlebih dahulu, dan dibawa kepada sub jawatankuasa pakar yang akan bincang perkara tersebut. Ia penting diperjelaskan kepada orang Islam bagi mengelakkan salah faham,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbezaan pandangan antara dua mufti iaitu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung perkara berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button