Segerakan vaksin kepada petugas media
Masih tiada kenyataan rasmi angka petugas media divaksin

BANGI, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad menggesa kerajaan segera memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada para petugas media.
Beliau berkata, gesaan terbabit susulan petugas media adalah antara barisan hadapan terpenting dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.
Katanya, petugas media berhadapan dengan risiko besar dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai isu terkini.
“Para petugas media, bukan sahaja merisikokan diri mereka sahaja, bahkan terhadap rakan sekerja dan ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, para petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Rabu lalu,
Beliau berkata, janji temu bagi tujuan vaksinasi itu akan mula diterima oleh petugas media Isnin lalu,
“Ada dalam kalangan mereka mula menerima tarikh janji temu vaksin hari ini (Isnin). Jadi, suntikan itu akan mula dilaksana pada Rabu.
“Jumlah penerima vaksin dalam kalangan petugas media bagaimanapun belum diputuskan lagi dan kami masih menelitinya,” katanya.
Bulan lepas, Khairy dilapor berkata, lebih 5,000 petugas media menerima tarikh janji temu untuk divaksinasi mulai Jun.
Mengulas mengenai perkara itu, Hazwan berkata, sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab mengenai angka dan peratus petugas media yang telah mendapat suntikan vaksin.
“Dilaporkan, terdapat lebih 5,000 petugas media dari 144 buah agensi media berdaftar di negara ini.
“Semua jentera kerajaan perlu digembleng untuk mesasarkan masa yang singkat untuk menyelesaikan proses vaksinasi kepada seluruh petugas media,” katanya.