Berita Utama

Tiada lesen perlombongan dilulus selepas pewartaan Hutan Simpan Chini 2019

14 lesen telah dikeluarkan sebelum pewartaan itu dibuat

KUANTAN, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Tiada lagi lesen baharu perlombongan dikeluarkan selepas kawasan seluas 4,600 hektar di Tasik Chini, Pekan diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019, menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang.

Menurut kenyataan PTG Pahang hari ini, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan sebelum pewartaan itu dibuat dan daripada jumlah tersebut, hanya dua masih beroperasi.

Satu lesen akan tamat pada hujung bulan ini manakala lesen satu lagi pemegang pajakan atau operator berakhir pada hujung tahun ini.

“Pihak berkuasa negeri (PBN) komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini selain tidak akan berkrompromi atas kegagalan pematuhan syarat oleh pemegang pajakan atau operator.

“Pada 17 Jun 2020, PBN telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta kepada 11 pemegang pajakan atau operator di kawasan Tasik Chini kerana berlaku ketidakpatuhan pada syarat kelulusan perlombongan,” menurut kenyataan itu.

PTG Pahang berkata terdapat lapan agensi teknikal daripada kerajaan negeri dan persekutuan terlibat dalam penilaian pematuhan syarat aktiviti perlombongan, antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Jabatan lain ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Selain itu, PBN juga telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Tindakan Pemulihan Akibat Ketidakpatuhan Kepada Syarat-syarat Kelulusan Aktiviti Perlombongan di Tasik Chini pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan dan operator berkenaan.

“Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi, antaranya perlu melakukan penandaan sempadan yang jelas, menanam semula pokok, mendaftar penggunaan jentera, dikenakan bayaran bon jaminan RM250,000 dan menyediakan pos pasukan penguat kuasa.

“JPNP juga sejak 18 Nov 2019 hingga 30 Dis 2019, telah melaksanakan kerja pemulihan dan penanaman pokok di kawasan Tasik Chini melibatkan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM 250,000,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemantauan terhadap kualiti air Tasik Chini juga sentiasa dilakukan sejak 2005 melibatkan 15 stesen pemantauan air, dan hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air.

Selain itu, JAS juga telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bermula 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar di situ. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button