Berita UtamaDunia

13 maut serangan artileri di hospital Syria

Ankara kecam serangan peluru berpandu didakwa dilancarkan militan

KAHERAH, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan beberapa individu cedera dalam dua serangan artileri berasingan di bandar Afrin – utara Syria – semalam, kata sumber perubatan tempatan dan kerajaan Turki.

Serangan pertama berlaku di kawasan perumahan sementara yang kedua terjadi di hospital tidak lama kemudian, kata sumber pertahanan awam.

Rakaman video di media sosial menunjukkan mangsa di tengah runtuhan hospital Al Shifa.

Ankara mengecam serangan peluru berpandu yang didakwa dilancarkan oleh militan YPG Kurdi, walaupun Angkatan Demokratik Syria (SDF) – pasukan militan yang disokong Amerika Syarikat (AS) – dipelopori oleh YPG Kurdi – mengatakan pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Kementerian Pertahanan Turki, yang mempunyai kehadiran tentera yang besar di wilayah Syria juga meletakkan angka kematian 13 orang dan mengatakan 27 individu cedera.

Pejabat Gabenor di wilayah Hatay Turki – bersempadan dengan Afrin – berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan mengatakan peluru berpandu ditembak dari kawasan Tel Rifat yang dikendalikan oleh kerajaan Syria.

Turki menganggap YPG sebagai kumpulan pengganas yang terikat dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di dalam sempadannya sendiri dan telah melakukan serangan ke Syria untuk menyokong pemberontak bagi menolaknya dari sempadan Turki.

Ankara kini mempunyai ribuan tentera di wilayah pemberontak terakhir di Syria. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button