Berita Utama

Dr Noor Hisham rayu orang ramai duduk di rumah

‘Kita tidak ada katil ICU yang mencukupi’

KUALA LUMPUR, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai untuk tetap berada di rumah bagi mengekang penyebaran virus COVID-19.

Beliau meminta orang ramai untuk membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan peranan mereka selama dua minggu ke depan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Sila duduk di rumah, kerana jika anda dan keluarga dijangkiti COVID-19, kita tidak ada katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mencukupi.

“Kalau terpaksa keluar rumah kerana urusan penting, patuhilah kepada segala SOP, elakkan 3S dan amalkan 3W.

“Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” katanya di laman Facebook dan Twitter rasminya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari Jumaat mengumumkan bahawa sekatan pergerakan penuh dilanjutkan selama dua minggu lagi dari 15 Jun hingga 28 Jun.

Ini disebabkan oleh keadaan COVID-19 di negara ini di mana kes harian terus mencatat lebih daripada 5,000 jangkitan baru sehari.

Keputusan untuk meneruskan PKP 3.0 dibuat setelah kementerian membuat cadangan itu dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button