Berita UtamaIstimewa

Kerajaan sah masih boleh operasi, tak perlu tubuh MAGERAN: BERJASA

Sudah ada MKN, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021

BANGI, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Tiada keperluan untuk mewujudkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi menyelesaikan beberapa masalah dihadapi negara, kesan penularan COVID-19 ketika ini.

Ini kerana, kerajaan yang sah masih boleh beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat kali ini, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad.

Bahkan, beliau menyifatkan usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 sebagai dangkal.

“Adalah amat dangkal untuk menyamakan situasi darurat 1969 dengan proklamasi darurat yang sedang berlaku disebabkan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Selain itu, beliau berpandangan tiada keperluan mewujudkan MAGERAN kerana adanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) – agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan – serta Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Perdana Menteri yang merupakan ketua kerajaan memerintah juga mempengerusikan MKN. Fungsinya perlu diperkukuh

“Selain itu terdapat juga Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang bertanggungjawab menasihati YDPA dalam hal berkaitan urusan negara sepanjang proklamasi darurat,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan penubuhan MAGERAN pada 1969 yang diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyelesaikan masalah politik dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad berkata, cadangan penubuhan Mageran bukan langkah sesuai kerana akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button