Berita Utama

Menteri PN tak wajar tafsir undang-undang ikut kepentingan sendiri

Jemaah Menteri tiada kuasa nasihat Agong tamatkan darurat

BANGI, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Menteri di bawah Perikatan Kerajaan (PN) tidak sewajarnya mentafsirkan undang-undang mengikut kepentingan mereka sahaja, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri bertanggungjawab untuk meneruskan peranan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPM) dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Takiyuddin berkata, baginda bertindak atas nasihat Jemaah Menteri mengikut Perlembagaan seperti mana ketika mengisytiharkan darurat pada Januari lepas.

Oleh itu, katanya, persoalan sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong seperti dibangkitkan tidak seharusnya timbul.

Membidas kenyataan itu, Isham berkata, hujah Takiyuddin adalah tidak bertanggungjawab.

“Mereka tidak boleh mentafsirkan undang-undang sesuka hati. Apa yang Takiyuddin kata ini tidak tepat malah tidak betul.

“Ini kerana apabila darurat diisytiharkan, secara efektifnya Perlembagaan adalah digantung. Sebab itu kerajaan boleh menggantung dan menutup Parlimen walaupun mengikut Perlembagaan mereka tidak boleh berbuat begini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apabila Perlembagaan digantung, maka peruntukan Perkara 40 iaitu keperluan untuk YDPA mendengar nasihat Jemaah Menteri juga adalah digantung.

“Kerajaan tidak boleh memilih-milih untuk memakai separuh-separuh peruntukan Perlembagaan yang memihak kepada mereka tetapi menggantung separuh-separuh yang lain terutama yang melibatkan kuasa YDPA semasa darurat.

“Lebih-lebih lagi apabila dalam tempoh darurat kuasa diserahkan ke tangan YDPA, sementara kedudukan dan kuasa Jemaah Menteri adalah kabur,” katanya.

Isham menegaskan, kuasa Jemaah Menteri yang tinggal hanyalah kuasa prerogatif yang terdatang (derived) daripada kuasa YDPA.

Katanya, dalam tempoh darurat, Jemaah Menteri tidak boleh menggunakan statut (atau Perlembagaan) untuk mengatasi kuasa ini, seperti yang cuba dilakukan oleh menteri jika dia menyatakan bahawa Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Tambahan lagi, katanya, dalam Perlembagaan tidak pun disebut mengenai pengisytiharan penamatan darurat.

“Oleh itu, jika mengikut statut atau Perlembagaan pun Jemaah Menteri tidak ada kuasa untuk menasihati Agong untuk menamatkan atau menyambung darurat setelah proklamasi pertama dibuat sebelum darurat berkuat kuasa dahulu.

“…maka, setelah darurat diisytihar, ia terserah kepada budi bicara baginda untuk membuat keputusan dan bukan lagi di tangan Jemaah Menteri atau Perdana Menteri yang tidak lagi ada kuasa untuk menasihati YDPA.

“Maksudnya, YDPA boleh mendengar nasihat mereka atas budi bicara sahaja dan tidak perlu ikut nasihat mereka ketika darurat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button