Berita Utama

Perak aktifkan 13 PPV lagi hujung Jun ini

Kemudahan pandu lalu, pengangkutan ke PPV dijangka tingkatkan jumlah penerima vaksin

IPOH, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Sebanyak 13 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diaktifkan mulai hujung Jun ini di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehingga kini sebanyak 18 PPV telah beroperasi daripada 31 PPV yang disediakan di seluruh daerah.

Beliau berkata, jika kesemua 31 PPV itu dapat berfungsi, seramai kira-kira 30,000 rakyat di negeri ini dijangka divaksin sehari.

Beliau menjelaskan, pembukaan kesemua PPV tersebut hanya akan dibuat selepas bekalan vaksin yang diperoleh mencukupi.

“Ada lagi 13 (PPV) yang belum berfungsi, bukan kerana tidak cukup tenaga kerja tetapi untuk memastikan bekalan vaksin yang sampai itu mencukupi,” katanya seperti dilapor Sinar Online.

Saarani memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan ‘mobile outreach’ untuk bergerak ke seluruh kawasan luar bandar.

“Kita sudah buat pandu lalu dan kita memberi kebenaran Maju Perak Holding beli vaksin dengan Pharmaniaga. Semua ini dapat dibuat dengan lebih pantas tertakluk kepada kecukupan vaksin.

“Dengan kemudahan yang disediakan seperti pengangkutan ke PPV bagi golongan sasaran akan meningkatkan jumlah penerima vaksin seperti yang disasarkan.

“Yang penting adalah kesediaan orang ramai untuk mengambil vaksin, lagi banyak PPV dan semakin hampir PPV dengan kediaman mereka, jadi sepatutnya tiada masalah untuk mereka dapatkan vaksin,” katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya, Maju Perak akan mendapatkan bekalan vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga). 

Saarani memaklumkan, perkara berkenaan dimuktamadkan susulan kebenaran kerajaan Persekutuan kepada Pharmaniaga untuk membekalkan tujuh juta dos vaksin tersebut kepada syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan-kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button