Berita Utama

PRK: Satu kertas siasatan dibuka berkait khianat

30 permit ceramah, kempen diluluskan pada hari ke-11

BANGI, 20 Safar 1445H, Rabu – Polis Johor membuka satu kertas siasatan berkaitan bendera dan banner ditumbangkan, dipercayai ada unsur khianat ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Jurucakap Media PRK Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, siasatan itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis juga meluluskan sebanyak 30 permit ceramah dan kempen bagi kedua-dua kawasan pada hari ke-11 tempoh berkempen PRK.

“PDRM Johor telah meluluskan sebanyak lapan permit ceramah dan 13 permit kempen bagi PRK  P.161 Pulai.

“Manakala, bagi PRK N.13 Simpang Jeram sebanyak enam permit ceramah dan tiga permit kempen yang telah diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak 26 Ogos sehingga semalam, tiga kertas siasatan dibuka dan sebanyak 324 permit diluluskan daripada 333 pemohon yang diterima.

Justeru, beliau menasihatkan semua parti serta kumpulan penyokong supaya berkempen secara sihat dan menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster-poster, banner, bendera, kain rentang dengan mencabut atau membakar mana-mana parti politik.

“Hal ini merupakan satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button