‘Rider’ Food Panda: PEMBELA sedia bantu siasatan
Boleh berikan kerjasama penuh jika dipanggil pihak polis

BANGI, 2 Zulkaedah 1442H, Ahad – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyatakan kesediaan untuk membantu siasatan polis berhubung tabung kilat yang digerakkan secara atas talian, bagi membantu ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah.
“Insya-Allah, kita akan berikan kerjasama penuh jika dipanggil.
“Kita akan keluar kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, PEMBELA melancarkan tabung kilat secara atas talian dengan sasaran kutipan sehingga RM20,000 bagi membantu ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sehingga RM20,000 bagi membantu ikat jamin lima individu berkenaan dengan kos RM3,000 hingga RM4,000 seorang.
Ekoran sudah melepasi sasaran kutipan, tabung sumbangan berkenaan telahpun ditutup.
Jumaat lalu, polis menahan lima penghantar makanan dan seorang pelanggan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sensitiviti agama di Sungai Way, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berhubung tindakan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentu sensitiviti agama kira-kira jam 2.30 petang.