Pendapat

Safiey dan ‘live’ Instagram: Peranan ibu bapa

Ibu bapa perlu sedar usaha licik pro LGBT

RATA-rata berita pada 10 dan 11 Jun melaporkan pihak polis telah membuka siasatan terhadap pemilik akaun Instagram dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ yang didakwa membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak di bawah umur selepas menerima laporan daripada seorang pensyarah universiti awam.

Inilah realiti masyarakat yang mana saya sifatkan sebagai masalah ummah.

Salah satu puncanya apabila hilangnya rasa malu dalam diri kita.

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim melalui sahabat Abu Mas’ud bahwa Rasulullah ﷺ bersabda :

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الأُوْلى إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

“Sesungguhnya yang diperoleh manusia dari ucapan kenabian yang pertama adalah jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka berbuatlah sesukamu.” (H.R. Muslim)

Dari berita yang dilaporkan serta gambar yang dipaparkan, saya boleh katakan, sesi ‘live’ itu memaparkan adegan yang tidak sesuai, pada orang yang tidak sesuai, pada masa yang tidak sesuai dengan pakaian yang tidak sesuai.

Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara. Sepatutnya setiap dari kita bertanggungjawab untuk menonjolkan sikap yang baik seterusnya mendidik generasi muda supaya terhindar daripada perkara mungkar!

Apa yang dilakukan oleh pemilik akaun adalah tetap jenayah khususnya kepada kanak-kanak walau apa jua hasil siasatan yang dikeluarkan!

Cakna ibu bapa

Caknakah ibu bapa terhadap apa yang anak-anak kita lakukan dan dengan siapa berkawan.

Pernahkah ibu bapa melihat apa yang terpamer di akaun FB, IG dan Twitter anak-anak?

Berapa ramai dari kalangan generasi kita mempamerkan adegan dan pakaian yang tidak sopan tanpa segan silu. Malah, ada yang ber’live’ dari bilik tidur sambil berbaring. Tempat yang satu ketika dahulu adalah privasi, kini siapa saja boleh ‘memasukinya’.

Adakah ia satu normalisasi yang kita tidak patut risaukan?

Pendidikan seksualiti

Sudahkah ibu bapa berperanan dalam menerangkan hal pendidikan seksual yang betul sebelum anak-anak belajar dari sumber yang songsang?

Selain itu, ibu bapa perlu sedar usaha licik pro LGBT untuk menormalisasi golongan ini dalam masyarakat sehingga anak-anak kita rasa ‘ok’ terhadap sebarang tindakan mereka. Adakah kita rasa ‘ok’ apabila maknyah berpakaian seksi?

Kita perlu mendidik generasi kita untuk faham agama yang sebenar, tahu membezakan yang salah dan benar serta tahu tindakan yang perlu dilakukan jika terjebak atau menjadi mangsa.

Tahniah kepada pensyarah yang telah membuat laporan polis. Ia menunjukkan satu keprihatinan sebagai salah seorang ahli komuniti yang tidak senang duduk dengan isu yang berlaku.

Sama-sama kita cakna dan berdoa semoga generasi kita terpelihara daripada perkara-perkara mungkar.

Atiqah Ahmad Zain
Ketua BKM Kajang
AJK ReproAlert

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button