Berita Utama

‘Cucuk dahulu, daftar kemudian’ antara langkah permudah proses vaksin luar bandar

Kaedah ‘walk-in’ digunakan untuk kawasan terpencil: Adham Baba

KUALA LUMPUR, 3 Zulkaedah 1442H, Isnin –  Pendekatan ‘cucuk dahulu, daftar kemudian’ membolehkan individu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 bagi mendapatkan suntikan, sekali gus mempermudahkan proses vaksinasi bagi penduduk di luar bandar. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ada lima cara untuk mendaftar inokulasi sementara khidmat vaksinasi secara ‘walk-in’ – bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak menggunakan telefon pintar atau aplikasi MySejahtera.

Pengumuman yang biasa dilakukan oleh kerajaan juga tidak mudah sampai kepada orang yang tinggal di kawasan luar bandar ini, tambahnya.

“Kaedah walk-in adalah cara kelima untuk mendaftar vaksinasi dan inilah yang kami gunakan untuk mereka yang tinggal di kawasan terpencil di negara ini.

“Empat cara lain untuk mendaftar vaksinasi adalah melalui MySejahtera, laman web, hotline atau dengan mendaftar di klinik atau hospital,” katanya seperti dilapor The Star.

Akses internet dan talian telefon lazimya tidak stabil di kawasan luar bandar manakala kampung juga jauh dari klinik, hospital atau balai raya yang berfungsi sebagai PPV, sehingga menyukarkan penduduk di kawasan ini mendaftar inokulasi.

Di Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, negeri itu akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan rakyatnya tidak tercicir mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, Sarawak akan menggunakan kaedah hibrid yang melibatkan pendaftaran secara manual selepas pemberian vaksin terutama masyarakat luar bandar.

“Untuk kawasan luar bandar, jika nama tiada dalam pendaftaran, tetapi mereka sudah datang untuk vaksin, mereka boleh divaksin dan selepas itu barulah pendaftaran dibuat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button