Berita Utama

MP PAS mahu kerajaan perkenal undang-undang lebih keras tangani LGBT

Sokong agenda pemerkasaan wanita, tapi kesal ada pihak ambil kesempatan promosi budaya songsang

KUALA LUMPUR, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membawa budaya songsang ketika perhimpunan ‘Women’s March Malaysia 2023’ di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, semalam. 

“Kita lihat di Dataran Merdeka pada Ahad (12 Mac) semasa Perarakan Wanita. Memang kita bersetuju dengan agenda pemerkasaan wanita tetapi ada segelintir yang mengambil kesempatan untuk merampas dan berkongsi idea supaya kerajaan memberi lampu hijau kepada golongan LGBT.

“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya ketika membahaskan Bajet 2023 di peringkat jawatankuasa di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana menyiasat perarakan itu.

“Kami mahu tindakan diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang lebih keras untuk menghentikan kebangkitan kumpulan tersebut termasuk gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kerana ia bertentangan dengan budaya tempatan konservatif.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya memaklumkan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Perarakan itu melibatkan 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi manusia, mahasiswa dan ahli parti politik.

Hasil pemerhatian polis, peserta diadapati berhimpun dan berarak sambil memegang plakad di antaranya tertulis ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rapes As With Periods, Child Not Pride, Trans Women Are Women, Police Your Behaviour Not My Body’ dan lain-lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button