Berita Utama

PAS kekal tolak kerjasama bawah ‘khemah besar’

Tak gentar kalah PRU jika terus bersama PN tanpa gabungan lain

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – PAS kekal pendirian menolak kerjasama dengan pembangkang di bawah ‘khemah besar’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan berkenaan telah dimaklumkan dan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerima penolakan itu.

“PAS ada dimaklumkan dan tahu mengenai (khemah besar), tetapi kita tidak bersetuju dan memutuskan untuk menolaknya.

“Kita berbincang bersama dan tidak sembunyi-sembunyi, malah Muhyiddin menerima pandangan PAS,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, partinya sehingga kini komited memperjuangkan prinsip perpaduan ummah bagi menyatu-padukan umat Islam, disamping golongan bukan Islam tidak ekstrem.

Malah, menegaskan pihaknya tidak bersikap menyembunyikan perbincangan dan perjumpaan yang diadakan dengan parti politik atau pihak tertentu.

“Kami tidak sembunyi-sembunyi, pihak yang ada hubungan dengan kita, kita lapor, yang berhubung dengan PAS pun kita lapor, yang berhubung dengan dia pun dilapor dan kita buat keputusan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS tidak sesekali gentar dengan kekalahan dalam PRU sekiranya terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa gabungan dengan pembangkang lain.

“PAS telah melakukan ‘post mortem’ dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor yang lepas dan mendapati pengundi Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mengundi parti tersebut,” katanya.

Malah, parti itu juga bersedia dan boleh menerima hakikat sekiranya tewas pada PRU15.

“Orang duduk di atas yang biasanya takut jatuh. Kita pernah kalah, selalu kalah dan menang sekali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button