Berita UtamaDunia

Negara haram Israel akan bina 534 lagi penempatan haram

Dua rumah rakyat Palestin di Baitulmaqdis dirobohkan

BAITULMAQDIS, 3 Zulkaedah 1442H, Isnin – Kementerian Luar Negeri Palestin mengecam rancangan negara penjajah Israel bagi membina 534 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, pembinaan penempatan itu bagi meluaskan kawasan Shvut Rahil.

Pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bertanggungjawab memantau kegiatan penempatan di utara Tebing Barat yang diduduki berkata, kelulusan unit penempatan haram baharu itu akan membenarkan keluasan kawasan terbabit bertambah menjadi hingga lima kali ganda.

Terdapat kira-kira 650,000 penduduk Yahudi mendiami 164 penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Dalam perkembangan lain, rejim pengganas Israel bertindak merobohkan dua kediaman milik rakyat Palestin di kampung Mukhmas, di Timur Laut Baitulmaqdis yang diduduki, semalam.

Seorang penduduk, Khadr Ka’abneh berkata, kedua-dua rumah itu masing-masing mempunyai keluasan kira-kira 30 meter persegi.

Agensi berita WAFA melaporkan, hampir setiap hari rumah dan bangunan milik rakyat Palestin dirobohkan bagi meluaskan kawasan jajahan Israel.

Israel mengharamkan penduduk Palestin membina atau memperluaskan bangunan di tanah mereka sendiri, terutamanya di kawasan C dan Baitulmaqdis kerana 60 peratus keluasannya diduduki dan dijajah oleh rejim pengganas Israel sepenuhnya.

Tindakan itu mengakibatkan penduduk Palestin terpaksa membina bangunan tanpa permit, yang sememangnya mustahil diberi oleh Israel. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button