Berita Utama

Ismail Sabri bangga bahasa Melayu pada papan tanda Korea Selatan

Impian mengantarabangsakan bahasa kebangsaan mula buahkan hasil

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa bangga apabila bahasa Melayu dikembangkan dan digunakan di Korea Selatan.

Beliau dalam kenyataan berkata, impian dan cita-citanya untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sudah mula membuahkan hasil selepas bahasa kebangsaan itu digunakan pada papan tanda di negara itu.

“Saya serta pejuang bahasa Melayu akan terus memperjuangkan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha ini dan menganggap ianya sebuah pengiktirafan kerajaan Korea Selatan kepada Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Terdahulu, portal Focus Malaysia melaporkan langkah Korea Selatan meletakkan beberapa bahasa asing pada papan tanda di negara itu untuk membantu pelancong melakukan perjalanan.

Selain bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Jepun dan bahasa Indonesia turut diletakkan di dalam papan tanda negara berkenaan.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri pernah menekankan dasar baharu kerajaannya untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Bahkan, beliau juga telah mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.

Untuk rekod, bahasa Melayu ialah bahasa keenam paling banyak dituturkan di dunia, dengan 290 juta penutur merentas Selat Melaka, merangkumi pantai Semenanjung Malaysia, dan pantai timur Sumatera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button