Berita Utama

Aset ATM ditambah baik dari semasa ke semasa: PM

Tindakan sesuai dengan evolusi teknologi persenjataan

BERA, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencukupi dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan terkini dan selari dengan perkembangan teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu antara aspek yang diberi perhatian utama oleh Kementerian Pertahanan dalam memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap yang terbaik dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

“Dari segi persenjataan ada evolusinya, teknologi sentiasa berubah, jadi sebab itu kita perlu tambah baik aset dari masa ke masa dan perkara itu sedang dilakukan oleh pihak kementerian,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Selain penambahbaikan aset, Ismail Sabri sebelum ini yang merupakan Menteri Pertahanan berkata, aspek kebajikan anggota tentera juga perlu dititikberatkan, sebagai contoh kerajaan sedang mengkaji skim pencen kepada anggota yang bersara awal.

Ketetapan tentera buat masa ini ialah pencen hanya diterima oleh mereka yang berkhidmat selama 21 tahun, menyebabkan mereka yang memilih untuk berpencen awal tidak menikmati manfaat itu, sehingga dalam sesetengah kes, menyebabkan ada yang terus kehilangan mata pencarian selepas tidak lagi berkhidmat.

Beliau berkata kajian mengenai pemberian pencen itu sedang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Markas ATM, kerana ia perlu merangkumi semua aspek termasuk kadar bayaran secara pro rata mengikut tempoh perkhidmatan dan sebab mereka berpencen awal.

“Kajian dilakukan supaya mereka yang berhenti misalnya 15 tahun atau 18 tahun berkhidmat diberikan pencen. Namun kita perlu lihat sebab mereka berhenti, adakah ia disebabkan masalah disiplin dan ini antara perkara perlu diperhalusi.

“Perkara ini melibatkan aspek kewangan dan apabila (kajian) selesai, Menteri Pertahanan baharu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) akan membawanya ke kabinet,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata eksesais seumpama itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap tinggi dengan pendekatan eksesais terarah kepada tiga objektif utama iaitu ‘to train’, ‘to project’ dan ‘to educate’.

“Ia bertujuan memberikan pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, untuk memberikan gambaran kesiagaan dan keupayaan sebenar aturgerak Tentera Darat Malaysia selain mendidik serta berkongsi pengetahuan mengenai peranan Tentera Darat dalam aspek keselamatan,” katanya.

Eksesais yang berlangsung selama 14 hari bermula Selasa lepas, melibatkan hampir 1,900 pegawai dan anggota melalui 10 Briged PARA yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka.

Selain itu, ia akan mensimulasikan gerakan kemaraan anggota 10 Bridged PARA dengan disokong oleh pelbagai jenis aset tempur, termasuk aset kenderaan tempur dari Kor Armor Diraja dan juga jambatan tempur dari Rejimen Askar Jurutera Diraja. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button