Berita Utama

UPUOnline dibuka semula mulai esok

Pemohon lepasan SPM boleh kemuka permohonan, kemas kini program pengajian

BANGI, 3 Zulkaedah 1442H, Isnin – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju membuka semula permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 15 Jun sehingga 21 Jun ini.

KPT berkata, pelajar lepasan SPM kini boleh membuat permohonan ke program Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian dalam tempoh yang sudah ditetapkan sebelum ini.

“Sehubungan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my sama ada untuk membuat permohonan kemasukan atau membuat pilihan program pengajian untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan ILKA di mana berkaitan.

“Pelajar yang belum pernah memohon boleh mengemukakan permohonan dan memilih program pengajian yang dikehendaki.

“Bagi pelajar yang sudah memohon sebelum ini boleh mengemaskini pilihan program pengajian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPT memaklumkan, permohonan boleh dilakukan bermula esok sehingga 21 Jun ini dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

“Diharapkan keputusan ini dapat memberi ruang yang secukupnya kepada pelajar untuk mengemukakan permohonan bagi memudahkan urusan permohonan bagi melanjutkan pengajian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button