Aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat jika kes harian turun di bawah 4,000: Muhyiddin
Aktiviti sosial, kawalan pergerakan terus dikawal ketat pada fasa kedua

KUALA LUMPUR, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat di bawah fasa kedua pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis sekiranya purata kes harian COVID-19 turun di bawah 4,000, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, fasa kedua adalah kesinambungan daripada fasa pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.
“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.
“Senarai positif daripada fasa 1 akan juga diperluaskan semasa fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor dan aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang ini.
Muhyiddin berkata, Malaysia boleh beralih kepada fasa ketiga sekiranya negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras di bawah 2000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Katanya, nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos 2021.
Fasa ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19.
“Semasa fasa ketiga, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian.
“Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti fasa kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat,” katanya. -Bernama