Dunia

COVID-19: Filipina lanjut sekatan hingga akhir Jun

Larang kemasukan pelancong dari 6 negara termasuk India

MANILA, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melanjutkan sekatan di ibu negara dan sebahagian wilayah berhampiran sehingga akhir bulan Jun, selain menetapkan semua daerah di bawah perintah kuarantin lebih ketat ekoran peningkatan kes jangkitan COVID-19. 

Kes jangkitan di ibu negara – yang mempunyai sekurang-kurang 13 juta orang – telah menurun pada April lalu, namun Filipina masih berdepan lonjakan kes di beberapa wilayah. 

Justeru, Duterte menggesa rakyatnya supaya mendapatkan suntikan vaksinasi dan mematuhi semua peraturan kesihatan. 

“Sekiranya anda tidak mendapat vaksin, anda pasti akan mati,” kata Duterte. 

Kerajaan Filipina mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat di sembilan bandar dan 12 wilayah, termasuk di tengah serta selatan negara dengan menghadkan kapasiti operasi perniagaan termasuk menutup sektor tidak penting. 

Duterte juga melarang perjalanan masuk dari India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hingga 30 Jun, untuk mencegah penyebaran varian yang menular dari luar negara. 

Pelancong yang datang terus dari negara-negara berkenaan, atau mempunyai sejarah perjalanan ke salah satu daripadanya dalam tempoh 14 hari juga akan dilarang masuk ke Filipina. 

Wilayah di Filipina tengah dan selatan menyumbang hampir satu pertiga kes baharu dalam tempoh dua minggu terakhir, menurut data kerajaan. 

Dengan lebih daripada 1.3 juta kes COVID-19 dan hampir 23,000 kematian, Filipina mempunyai jumlah jangkitan dan korban kedua tertinggi selepas Indonesia di Asia Tenggara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button