Berita Utama

ISMA kesal tindak-tanduk MITI seakan tak mahu bendung COVID-19

Sia-sia rakyat berkorban duduk di rumah, tapi kes tak berkurang

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal melihat tindak-tanduk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang seolah-olah tidak mahu membantu dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Menerusi catatan di Facebook, ISMA memaklumkan pernah menggesa MITI supaya bersikap telus dalam memberi kebenaran kepada sektor kilang yang benar-benar ‘essential’ sahaja.

Bagaimanapun katanya, gesaan itu ibarat mencurah air ke daun keladi kerana seruan berkenaan seperti tidak diendahkan.

“Hasilnya, kluster tempat kerja terutamanya sektor pengilangan menjuarai carta tertinggi kes jangkitan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerap kali ingatkan rakyat untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) tetapi pihak MITI pula seakan tidak mahu bekerjasama membanteras COVID-19.

“Di akhirnya nanti sia-sia sahaja rakyat berkorban duduk di rumah, tetapi kes tetap tidak berkurang,” katanya, hari ini.

Sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja telah dilaporkan KKM.

Sebanyak 624,246 individu telah disaring dalam kluster-kluster tersebut dengan 147,040 kes dikesan positif COVID-19 (kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun trend kes mingguan di Malaysia menunjukkan penurunan dalam dua minggu ini, namun kluster-kluster tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster-kluster baharu di Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button