Berita UtamaIstimewa

Isu derma: Polis tak faham atau sengaja mahu panaskan isu?

Jika perkara ini berterusan, PEMBELA tak teragak ambil tindakan saman

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak polis sekiranya masih memanjangkan isu kutipan derma berhubung kes lima penghantar makanan, baru-baru ini.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihak kesal dengan kenyataan Ketua Polis Selangor semalam, meskipun isu berkenaan telah diperjelaskan kepada umum dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Beliau berkata, walaupun penjelasan sudah dibuat oleh PEMBELA, namun jelas pihak polis tidak faham atau mungkin mahu memanaskan isu berkenaan.

“Bila masa pula PEMBELA kata kami kutip duit untuk bayar polis? Saya rasa orang awam pun faham yang wang dikutip adalah untuk jaminan mahkamah.

“Jaminan mahkamah bayar pada mahkamah. Apa yang susah sangat nak faham?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berhubung isu kutipan derma bagi kes lima penghantar makanan yang ditahan kerana dipercayai bergaduh dengan pelanggan di Sungai Way.

Arjunaidi memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – merujuk PEMBELA – kerana melancarkan kutipan itu walaupun tiada bayaran diperlukan untuk jaminan polis.

Sebelum ini, perkara sama juga terpalit kepada PEMBELA selepas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya juga menyiasat mengenai kutipan derma berkenaan, namun telah diperjelaskan oleh PEMBELA dalam satu pertemuan dengan Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, semalam.

“Perkara yang ‘simple’ sebegini pun polis tidak faham, apatah lagi selepas terlalu banyak penjelasan dan kenyataan dibuat. Malulah begini.

“PEMBELA sangat kesal dengan kenyataan Ketua Polis Selangor ini dan berharap agar permohonan maaf dibuat, lebih-lebih lagi perkara ini kami sudah jelaskan sendiri secara berhadapan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya semalam, rujuklah beliau.

“Jika tidak faham juga, kami terlalu banyak perkara lain yang mahu dibuat untuk ‘menghadap’ ketua polis negeri pula, hanya untuk berikan penjelasan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button