Berita Utama

Kes demam denggi turun mendadak sebanyak 75 peratus tahun ini

12,188 kes setakat 12 Jun berbanding 48,584 tempoh sama pada 2020

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Sebanyak 12,188 kes dan lapan kematian akibat demam denggi dilaporkan sejak Januari hingga 12 Jun tahun ini, berbanding 48,584 kes serta 84 kematian bagi tempoh sama pada 2020.

Ini bermakna, kes demam denggi menunjukkan trend penurunan sebanyak 75 peratus bagi tahun 2021, dan kematian berkurang 91 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) tetap menggesa masyarakat untuk terus berusaha dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes secara konsisten tanpa kompromi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, walaupun negara masih bergelut dengan wabak pandemik COVID-19, usaha memerangi demam denggi tetap perlu diteruskan memandangkan ia adalah endemik dan menjadi beban kesihatan awam di Malaysia sejak sekian lama.

“Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, di mana sebahagian besar waktu individu dan masyarakat diluangkan di rumah, kesempatan perlu diambil untuk memastikan premis kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Usaha pencegahan denggi ini juga turut diperkasakan melalui penglibatan pasukan sukarelawan COMBI di seluruh negara,” katanya sempenan sambutan Hari Denggi ASEAN 2021, hari ini.

Beliau berkata, pada tahun ini, ‘10 minit hapuskan Aedes’ adalah tema yang dipilih untuk sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan.

Katanya, tema itu bertujuan menekankan komitmen dan kerjasama padu semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta dalam meneruskan membanteras demam denggi.

“Peranan yang dimainkan oleh sukarelawan COMBI adalah dengan menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi melalui pendekatan norma baharu seperti media sosial.

“Sehingga 31 Mei 2021, terdapat sebanyak 3,084 pasukan COMBI dengan penyertaan sebanyak 28,381 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button