Berita Utama

MACSA bantah kajian sokong pengiktirafan ‘gender ketiga’ SUHAKAM

Kajian tak bersifat bebas, ada 'preconceived idea' bertentangan nilai dan budaya

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) membantah kajian diusul Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), bertajuk ‘Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia’.

Bantahan itu disuarakan kerana nyata dapatan kajian (Research Outcome) dan kaedah menyampaikan dapatan kajian (Deliverables) bertentangan dengan agama, budaya dan undang-undang Syariah.

SUHAKAM menetapkan bahawa apa pun dapatan kajian, ia mestilah menjadi asas membentuk ‘Law Reforms’ atau meminda undang-undang sedia ada ke arah pengiktirafan transgender sebagai gender ketiga di Malaysia.

Ini termasuklah undang-undang dalam pelbagai enakmen Syariah yang terpakai di seluruh negara, katanya.

Selain itu, laporan kajian juga mestilah mengandungi rekomendasi kepada kerajaan untuk membentuk undang-undang bagi pengiktirafan transgender dengan membenarkan penukaran nama dan identiti jantina pada dokumen pengenalan diri.

Bahkan, laporan kajian juga mestilah mencadangkan penggubalan polisi dan undang-undang semasa ke arah pengiktirafan gender ketiga.

Pengerusi Bersama MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meraikan kebebasan mana-mana pihak untuk menjalankan kajian.

Bagaimanapun katanya, adalah nyata kajian yang ditawarkan SUHAKAM ini adalah tidak bersifat bebas dan telah mempunyai ‘preconceived idea’ yang bertentangan dengan nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan serta budaya di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menyokong petisyen bagi menggesa SUHAKAM membatalkan kajian tidak bebas ke arah menyokong ‘pengiktirafan gender ketiga’.

Pengerusi Bersama MACSA itu turut menggesa SUHAKAM kembali menghormati peruntukan Seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597), yang dengan jelas membataskan kuasa suruhanjaya itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, MACSA mempertahankan kebebasan hak asasi manusia dengan nilai-nilai moral dan agama yang dipegang Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Termasuklah komuniti transgender yang turut dijamin maruah diri, layak untuk hidup dan memiliki akses ke semua tempat awam seperti yang termaktub dalam Artikel 1 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“… Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD). Mereka seharusnya tidak dipinggirkan dan dijamin hak sebagai warganegara Malaysia.

“Namun, kita harus jelas bahawa dokumen asal UDHR pada tahun 1948, dan seperti mana yang diterimapakai oleh Malaysia apabila kita menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas kemerdekaan, tidak memperuntukkan identiti gender ketiga selain daripada lelaki atau perempuan dalam rangka hak asasi,” katanya.

Bahkan dalam artikel 2 UDHR, Prof Rafidah berkata, hak-hak asasi yang termaktub dan disepakati untuk dilindungi adalah tanpa pembezaan dari sudut bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, faham politik atau lain-lain pemahaman, asal usul bangsa keturunan atau sosial harta benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.

Mengulas lanjut, katanya tidak termasuk dalam artikel ini, orientasi seks songsang atau identiti gender yang tidak mengikuti seks biologi.

“Pada tahun 2011, Malaysia menyertai 18 lagi negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia (Human Rights Council atau HRC) menolak resolusi 17/19 HRC yang meluluskan orientasi seks dan identiti gender sebagai hak asasi yang baru.

“MACSA mengiktiraf institusi syariah yang mentadbir undang-undang Islam yang dianggap lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu seperti diputuskan dalam kes Ramah v Laton (1927),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button