Berita Utama

Malaysia lulus pendaftaran bersyarat 2 vaksin dengan 1 dos

Penggunaan vaksin Comirnaty diluluskan untuk individu 12 tahun ke atas

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian.

Kelulusan itu membabitkan vaksin Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen COVID-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Janssen COVID-19 Vaccine telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (UEL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pendaftaran Janssen COVID-19 Vaccine yang diperoleh oleh kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX ini dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan WHO UEL.

“Selain itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BionTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Walaupun tambahan indikasi telah diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkn di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), katanya.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA) dan diluluskan PBKD.

Katanya, kerajaan turut komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button