Berita Utama

Malaysia mampu jadi pengeluar vaksin COVID-19

Dengan kepakaran dimiliki, negara mampu hasilkan penemuan bermakna

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Malaysia mampu menubuhkan institut penyelidikan khusus berkaitan COVID-19 dan varian seumpamanya, kata Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Nor Azaruddin Husni Nuruddin.

Dr Nor Azaruddin berkata, dengan kepakaran dimiliki Malaysia sama ada dari universiti awam (UA) atau swasta, negara ini mungkin mampu menghasilkan penemuan bermakna.

Selain menjimatkan kos pembelian vaksin berbilion ringgit, katanya, penubuhan institut itu dapat menjadikan Malaysia sebagai negara pertama mengeluarkan vaksin berstatus halal.

“’Institut COVID-19′ bukan hanya menjalankan kajian mengenai vaksin sahaja, bahkan pelbagai sektor lain berkaitan,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Katanya, negara ini memerlukan data bagi merancang hala tuju untuk masa hadapan, memandangkan sektor ekonomi pelbagai industri seperti pelancongan, penerbangan, pembuatan dan perkhidmatan terjejas.

Katanya lagi, ini termasuk sektor pendidikan yang memerlukan kajian khusus, apabila penggunaan internet kini menjadi keperluan asas atau persoalan keselamatan negara berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Semua bidang ini saling terkait dan terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Dunia bergantung kepada data untuk merancang masa depan lebih baik. Setiap keputusan atas kepentingan umum perlu bergantung kepada fakta dan data. Kita dapat lihat bagaimana Thailand menjadi pengilang kedua kepada syarikat pengeluar vaksin.

“Apa yang penting di sini, proses pemindahan teknologi. Thailand akan mempelajari kaedah penghasilan vaksin melalui vektor viral, iaitu virus dimodifikasikan secara genetik,” katanya.

Setakat hari ini, beliau berkata, masih tiada negara Islam yang menjadi pengeluar vaksin utama.

Jelasnya, umat Islam tidak lagi boleh menjadi pengguna, sebaliknya perlu bangkit sebagai peneraju seperti zaman kegemilangan Islam yang kini hanya lipatan sejarah.

“Malangnya, umat Islam hilang daya kreativiti dalam mengubah dan beradaptasi dengan dunia, manakala pemikirnya tidak berminat dengan masalah dan persoalan sains moden.

“Mereka lebih tertarik membicarakan kerosakan isu moral yang sedang mengalami kemunduran berbanding sebelumnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button