Operasi IPT masih sama seperti diumum pada 31 Mei
KPT minta universiti, pelajar ikut arahan pihak berkuasa

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara bagi tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 hingga 28 Jun adalah sama seperti diumumkan pada 31 Mei lalu.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pengoperasian itu merangkumi semua aktiviti seperti keberadaan pelajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kehadiran staf akademik dan bukan akademik.
Ia turut termasuk pelaksanaan aktiviti pelajar, peperiksaan antarabangsa dan badan profesional serta kemasukan pelajar antarabangsa, kata KPT.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan meminta pihak IPT untuk merujuk prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pengajian Tinggi bertarikh 31 Mei, yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi tempoh PKP.
“KPT ingin menasihati semua IPT dan para pelajar agar sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Semua warga pendidikan tinggi boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh PKP melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-88706777/6623/6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing,” kata KPT dalam kenyataan, hari ini.