Berita Utama

Pahang harap proses vaksinasi COVID-19 disegerakan untuk rakyatnya

Purata penerima vaksin harian jauh dari sasaran akibat kurang bekalan

BANGI, 4 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pahang berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan proses pemberian vaksin kepada penduduk di negeri itu melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak Mac lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 12 Jun, hanya 11.7 peratus rakyat negeri Pahang – daripada sasaran 1,231,800 juta – telah menerima suntikan vaksin bermula Mac.

Beliau berkata, purata penerima vaksin harian di negeri itu juga hanya 963 orang, jauh daripada sasaran ekoran kekurangan bekalan vaksin.

“Sasaran 1,231,800 juta orang untuk menerima vaksin pada 31 Disember 2021 hanya akan dapat dicapai sekiranya pemberian vaksin harian adalah sebanyak purata 7,550 orang sehari.

“Kerajaan negeri Pahang berharap kerajaan Persekutuan dapat mengambil langkah dan inisiatif bagi menyegerakan pembekalan suntikan vaksin kepada negeri ini agar sektor ekonomi, sosial dan pembangunan secara keseluruhannya dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat 14 Jun, seramai 4,688,233 individu di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, di mana 1,413,039 orang telah melengkapkan dos kedua, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button