Berita Utama

1MDB: Permohonan Thomas, kerajaan batal saman Najib didengar 12 Ogos

Permohonan akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache

KUALA LUMPUR, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan kes saman difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan didengar 12 Ogos.

Peguam Yudistra Darma Dorai, yang mewakili Najib, ketika dihubungi berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Yang Arif (Ahmad Bache) semasa pengurusan kes secara dalam talian hari ini dan pendengaran permohonan itu akan dijalankan secara fizikal,” kata peguam itu.

Pada 18 November tahun lepas, Thomas dan kerajaan telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman tersebut selepas mendakwa tindakan bekas perdana menteri itu menyaman mereka adalah suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Najib selaku plaintif memfailkan saman itu pada 22 Okt tahun lepas, dengan menamakan Thomas dan kerajaan selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib, 68, berkata beliau didakwa di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button