Dunia

Jangkitan ‘kulat hitam’ dikesan pada 3 pesakit COVID-19 di Oman

Individu berdepan gejala batuk berdarah, sesak nafas dan berisiko maut

MUSCAT, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Doktor di Oman mengesan jangkitan kulat dipanggil ‘mucormycosis’ – turut dikenali sebagai kulat hitam – yang berisiko membawa maut, menurut pihak berkuasa. 

Kementerian Kesihatan Oman pada Selasa memberitahu, tiga pesakit COVID-19 telah dijangkiti kulat berkenaan, yang didakwa merebak di antara pesakit Coronavirus di India. 

Walaupun jarang berlaku, jangkitan itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pihak berkuasa negara kerana kenaikan mendadak kes menyukarkan usaha memerangi COVID-19. 

Keadaan jangkitan kulat menjadi semakin membimbangkan ketika India turut berdepan lonjakan kes. 

Negara-negara lain termasuk Mesir telah melaporkan kes dalam beberapa bulan terakhir lalu. 

Kulat hitam dikesan di India, sebelum gelombang virus, tetapi ia menimbulkan kebimbangan kerana menyerang ribuan pesakit COVID-19 yang dijangkiti atau mereka yang baru pulih.

Murcormycosis disebabkan oleh pendedahan pada acuan lembab berlendir yang biasanya dijumpai di tanah, udara bahkan di hidung manusia. 

Ia menyebabkan kehitaman atau perubahan warna pada hidung, penglihatan menjadi kabur, sakit dada, kesukaran bernafas dan batuk berdarah.

Selain itu, individu yang dijangkiti murcormycosis juga akan berdepan gejala demam, sakit kepala, sakit dan merah pada sekitar mata atau hidung, sesak nafas, muntah berdarah serta keadaan mental yang berubah. 

Perkara itu dimaklumkan ketika negara berkenaan menghadapi lonjakan kes jangkitan sehingga menyebabkan penggunaan katil hospital penuh. 

Pegawai kesihatan Oman memberi amaran awal minggu ini bahawa hospital berdepan kekurangan katil yang serius, di tengah penyebaran varian yang mudah merebak dan kelewatan proses vaksin. 

Sehingga kini, Oman mencatatkan lebih 238,500 kes jangkitan termasuk 2,565 kematian, menurut Universiti John Hopkins. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button