Berita Utama

Jantina ketiga: Jangan cuba paksa negara terima agenda luar!

SUHAKAM tak perlu jadi alat agenda luar, bertindak seolah-olah gunting dalam lipatan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pencarian penyelidik bagi kajian untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini, dipercayai merupakan agenda luar yang cuba dipaksakan kepada rakyat Malaysia. 

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan berkata, ia boleh dilihat sebagai tindakan halus bagi mencairkan jati diri bangsa dan negara.

Walhal, penentuan jantina bagi kes-kes yang berkaitan perlu dibuat berdasarkan prinsip-prinsip beragama, iaitu menjadi teras kepada Rukun Negara, serta nilai budaya penduduk setempat.

“Sebagai sebuah negara Islam yang dihormati, Malaysia seharusnya mengguna pakai terma-terma dan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang selari dengan Islam yang merupakan agama bagi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada 14 Jun 2021, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di laman Facebook mengiklankan pencarian penyelidik untuk mengkaji kebolehlaksanaan perundangan bagi mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia.

Kajian diusul SUHAKAM itu bertajuk ‘Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia’.

Menurut SUHAKAM, projek penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada jam 4 petang 30 Jun 2021.

Menempelak pihak berkenaan, Dr Ahmad Kamsani berkata, isu jantina ketiga ini bukan sahaja tidak patut diangkat kerana ia bertentangan dengan fitrah kemanusiaan tetapi ia juga berimpak besar kepada rakyat.

“Ia akan menimbulkan krisis nilai di kalangan rakyat sehingga boleh menjejaskan kerukunan dan keharmonian keluarga dan masyarakat,” katanya lagi.

Justeru, tidak mahu perkara ini dibiarkan, Dr Ahmad Kamsani menggesa kerajaan menegur SUHAKAM supaya tidak menjadi alat kepada agenda luar dan bertindak seolah-olah gunting dalam lipatan. 

“Sekiranya pihak SUHAKAM berkeras untuk meneruskan perkara ini, amat wajar untuk semua pesuruhjayanya diganti dengan orang lain yang lebih berkredibiliti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button