Berita Utama

Jantina ketiga: Tiba masa objektif, individu dalam SUHAKAM dirombak

Hanya jadi suara golongan liberal, SUHAKAM tak angkat aspirasi negara

BANGI, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Sebagai antara agensi kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sewajarnya berperanan memperjuang dan mempertahankan aspirasi negara serta watan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu dilihat hanya menjadi suara golongan liberal yang sentiasa memperjuangkan kebebasan hak asasi tanpa sempadan yang akan merosakkan nilai dan maruah masyarakat beragama serta berbudaya di negara ini.

Atas sebab itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Lumpur menyifatkan sudah tiba masa kewujudan, objektif dan individu di dalam SUHAKAM dirombak.

Ini kerana, sehingga kini tumpuan dan kerja SUHAKAM tidak menjurus kepada mengangkat aspirasi negara dan watan, kata Ketua Perhubungan ISMA Kuala Lumpur, Dr Osman Md Rasip.

“Tindakan SUHAKAM yang ingin melaksanakan kajian ‘Feasibility of Having Third Gender in Malaysia’ adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan agama, budaya dan undang-undang Syariah negara ini.

“Apa yang jelas, hasil kajian ini nanti akan menjadi garis panduan kepada perubahan dan keabsahan golongan ‘gender ketiga’ dari segi legislatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah kajian yang diusul suruhanjaya itu.

Ini kerana nyata dapatan kajian (Research Outcome) dan kaedah menyampaikan dapatan kajian (Deliverables) bertentangan dengan agama, budaya dan undang-undang Syariah.

SUHAKAM menetapkan bahawa apa pun dapatan kajian, ia mestilah menjadi asas membentuk ‘Law Reforms’ atau meminda undan-undang sedia ada ke arah pengiktirafan transgender sebagai gender ketiga di Malaysia.

Ini termasuklah undang-undang dalam pelbagai enakmen Syariah yang terpakai di seluruh negara.

Mengulas perkara itu, Dr Osman berkata, walaupun Malaysia menerima Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), namun ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan dan budaya nasional.

Apatah lagi, katanya, di dalam UDHR tidak dinyatakan berkaitan dengan ‘gender ketiga’.

“Kami menyokong penuh usaha-usaha NGO Islam seperti MACSA dan PEMBELA yang mengutuk tindakan SUHAKAM menjadi suara golongan liberal memperjuangkan keabsahan golongan ‘gender ketiga’ dari segi legislatif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button