Berita Utama

Ahli politik harus elak tingkah laku gugat perpaduan

Hanya perpaduan lahirkan kestabilan, kegemilangan negara

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Terdapat segelintir pemimpin politik gagal mengutamakan elemen perpaduan dalam aktiviti politik masing-masing – terutama ketika berkempen mendapatkan sokongan pengundi.

Walhal, politik dan berpolitik itu penting, kerana diperuntukkan juga dalam undang-undang, terutama Perlembagaan Persekutuan – sebagai antara kebebasan dan hak setiap rakyat.

Ia diterjemahkan menerusi sistem demokrasi, yang dinikmati rakyat sejak lebih enam dekad lalu.

Ahli Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, negara menyediakan platform pilihan raya setiap lima tahun untuk pengundi memilih wakil rakyat, yang sebahagiannya akan dilantik sebagai Menteri, EXCO, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Perdana Menteri.

“Bukan hanya menunaikan tanggungjawab di Parlimen dan kawasan, tetapi lebih penting tidak sama sekali meruntuhkan perpaduan dibina sejak merdeka dan Malaysia dibentuk.

“Aspek ini harus diutamakan,” katanya menulis di Berita Harian.

Mengulas lanjut, Dr Irmohizam menyarankan ahli politik berikrar peri pentingnya mengukuhkan asas perpaduan demi negara tercinta, sementara masih disegari erti sambutan ulang tahun kemerdekaan, Hari Malaysia serta 50 tahun Rukun Negara.

Beliau berkata, hanya mengutamakan perpaduan mampu melahirkan kestabilan dan mengembalikan kegemilangan negara.

Sebelum ini, katanya, Malaysia pernah terkenal sebagai sebuah negara contoh dari segi perpaduan dan amalan baik itu perlu terus dipelihara.

“Ahli politik mempunyai peranan penting. Jadikan keperluan ini antara senarai tindakan harian utama masing-masing. Setiap kata tutur dan tindakan perlu dijadikan asas kepada perpaduan yang lebih kukuh dan mantap.

“Saranan Yang di-Pertuan Agong harus dijunjung. Ahli politik harus menjadi contoh kepada rakyat dan menunjukkan teladan baik, bukan sebaliknya.

“Jadikanlah budaya dan kewajipan dalam setiap aktiviti berpolitik dengan mengelak kenyataan, tindakan dan tingkah laku yang boleh menggugat perpaduan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button