Berita Utama

Pelan Pemulihan Negara perlu ada ‘Plan B dan C’

Kluster tempat kerja terus meningkat, jumlah saringan COVID-19 belum menyeluruh

BANGI, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin, semalam memerlukan pelan rancangan alternatif jika beberapa indikator asal yang disasarkan gagal dicapai.

Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, secara umum, ianya sangat bagus dan bersistematik dengan objektif serta sasaran yang jelas.

“Namun ia hadir sangat lewat, hampir sembilan bulan selepas negara dilanda gelombang kedua COVID-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya merasakan kita perlukan Plan B dan Plan C jika beberapa indikator asal yang disasarkan gagal dicapai terutamanya bilangan kes baharu harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kluster-kluster baharu di tempat kerja masih terus meningkat, bahkan sehingga 16.3 peratus disebabkan kegagalan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengawal pengoperasian kilang-kilang dan tapak pembinaan yang berada dalam kategori ‘non-essential services’.

“Tindakan drastik yang lebih tegas perlu diambil oleh MITI dalam hal ini bagi memastikan sasaran kerajaan dalam pelan kali ini berjaya,” katanya.

Selain itu, jumlah saringan COVID-19 yang belum menyeluruh menyebabkan negara masih belum dapat melihat jumlah sebenar kes-kes positif di tempat-tempat kerja terutama kilang dan tapak pembinaan.

“Dalam hal ini, saya juga ingin mencadangkan supaya bilangan saringan harian ditambah sebagai salah satu indikator yang dipantau dan diumumkan secara telus dan terbuka.

“Semoga negara kita dapat cepat keluar daripada pandemik COVID-19 ini dengan perancangan teliti dan kerjasama semua pihak”, katanya.

Semalam, Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Katanya, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Tiga indikator adalah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Jelasnya, pelan itu diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button