Pendapat

Persoalan jenis-jenis manusia yang menulis dan berbicara

Semoga saya, pembaca tak termasuk di dalam 1 daripada 10 golongan ini

HARI ini selepas solat Subuh, saya membelek buku yang dikongsikan kepada saya oleh Dr Norsalehah beberapa minggu yang lepas. Buku ini saya selalu mendengar tentangnya sejak saya belajar di Mesir sekitar 90an kerana saya pernah tinggal serumah dengan Ustaz Haris Jamin yang suka bercerita tentang penulis buku ini. Ditambah di tahun-tahun berikutnya pula, Ustaz Abdullah Zaik selalu menyebut berkenaan beberapa kaedah usul yang dirumuskan oleh penulis buku tersebut.

Penulis buku tersebut adalah seorang alim besar Mesir bernama Prof Dr Muhammad Abdul Mun’im al-Qi’ie. Saya tidak sempat berguru dengannya. Beliau adalah mantan Dekan Fakulti Tafsir, Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Saya kongsikan sedikit coretan beliau di mukadimah buku beliau, mengulas persoalan jenis-jenis manusia yang menulis, dan termasuklah juga yang berbicara.

“Telah saya perhatikan bahawa penulis-penulis terkenal semasa yang menulis tentang Islam, tidak mempunyai manhaj di dalam penulisan mereka. Mereka juga tidak berpandukan kepada kaedah usul tertentu bahkan mungkin tidak tahu pun tentang kaedah usul. Tetapi mereka terus bercakap tentang Islam. Pada penilaian saya mereka  adalah  salah seorang dari yang berikut:

1. Orang yang banyak ilmunya dan banyak menyebut tentang pandangan-pandangan ulamak sebelum mereka. Jika kita melihat kitab yang dirujuk olehnya dan yang dinukilkan dari kitab itu kebanyakan tulisannya, kemungkinan apa yang bermanfaat hanyalah satu mukasurat dari ratusan mukasurat tersebut.

2. Orang yang beku bermain dengan huruf dan lafaz. Kemungkinan dia tidak tahu pun apa yang diulang-ulangnya itu.

3. Orang yang banyak karangannya. Tetapi saya merasakan bahawa apa yang ditulisnya lebih banyak dari apa yang dibacanya. Uslub penulisannya meleret walau pun sebenarnya beliau sedang berbicara tentang sesuatu isu berkaitan nas.

4. Orang munafik yang pandai berbicara. Tidak menjaga hak Allah, tidak menjaga kesucian agama dan tidak tahu tentang asas Islam. Tetapi beliau kononnya berbicara tentang sesuatu isu secara mendalam.

5. Orang yang berbicara di luar bidang pengkhususannya. Mengambil Islam dan apa-apa pandangan yang kena dengan seleranya. Berlaga-laga pandangannya. Adakalanya menolak logik akalnya dan adakalanya menggunakan logik akal. Tidak ada disiplin ilmu. Beliau mengkritik ulamak besar sebelumnya sedangkan dia lebih kecil dari saiz rambut mereka.

6. Orang yang hanya kagum dengan dapatan ilmu-ilmu yang ganjil.  Apa yang beliau suka ketengahkan adalah pandangan yang tersembunyi dari pengetahuan masyarakat awam. Kemudian dia perasan seolah-olah dia membawa suatu dapatan ilmu baru.

7. Orang yang melihat Islam hanya kulit luarannya sahaja. Mengenengahkan kepada orang ramai dan kepada masyarakat awam apa yang selari dengan emosi sentimen mereka, walaupun apa yang dibawa itu bertentangan dengan neraca asas akal.

8. Orang yang bersikap negatif. Apa yang dilakukannya hanyalah meratapi dirinya sedangkan dia tidak bertindak apa-apa. Jika ditegur, dia berkata: hasbunaLlah. Dia lupa bahawa Allah mencela sikap lemah.

9. Orang yang matlamat penulisannya adalah mengumpul harta. Tulisannya mendatar, kosong dan tidak ada erti di sebaliknya.

10. Orang yang menghabiskan masanya dengan menulis sesuatu yang tidak ada manfaat. Jenis inilah kebanyakan manusia di zaman kita ini.”

Benar apa yang dirumuskan oleh beliau. Moga saya dan pembaca sekelian tidak termasuk di dalam salah satu dari 10 golongan ini.

Setelah membelek-belek tulisan beliau, rindu kepada Mesir dan suasana ilmunya datang kembali. Teringat kali pertama memijak tangga batu bangunan kuliah Syariah dan Undang-undang serta memijak lantai masjid al-Azhar, terasa tapak kaki ini menapak di atas batu-batu berusia ratusan tahun yang dipenuhi dengan bekas tapak-tapak kaki ulamak Islam sepanjang zaman. Bangga pernah berguru dengan ulamak-ulamak al-Azhar.

Wallahul a’la wal a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button