Berita Utama

PRN Johor: ‘Elok ada gandingan parti kerajaan, pembangkang’

Tak mahu hanya satu parti dominasi corak pemerintahan negeri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Sistem akar umbi politik yang sudah lama terbina memungkinkan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun parti itu diingatkan untuk tidak terlalu selesa.

Ini kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN gagal mempertahankan tampuk pemerintahan dipercayai berpunca daripada beberapa isu antaranya membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isu nasional melibatkan parti itu.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpendapat bahawa isu berkenaan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada BN ketika itu – sekali gus menyaksikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun katanya, BN mempunyai potensi yang kuat untuk memenangi PRN Johor pada kali ini memandangkan mereka mempunyai satu sejarah pentadbiran yang baik di negeri itu, selain mempunyai akar umbi yang kuat untuk menentukan parti mereka akan diterima oleh masyarakat.

“BN juga lebih menyeluruh berbanding parti lain kerana mempunyai satu sistem akar umbi politik yang telah lama terbina di Johor.

“Saya berpandangan kalau dari segi kawasan pun mungkin BN ada kelebihan 60:40 berbanding parti lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Selain itu, Syed Agil berpendapat, pertembungan beberapa penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor menunjukkan corak pemerintahan di negeri sudah berubah.

Katanya, seolah-olah ada satu anjakan paradigma yang mewarnai parti-parti politik di Johor yang disifatkan sebagai budaya yang sihat.

“Bagi saya kita tidak mahu satu parti yang mendominasi corak pemerintahan politik di suatu negeri. Elok kalau ada satu gandingan parti yang menerajui kerajaan dan parti pembangkang.

“Ini supaya perancangan yang dibuat untuk sesuatu negeri itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik, komprehensif serta ada check and balance,” katanya.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini, dengan hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini.

Semalam, proses mengundi awal bagi PRN Johor merekodkan 87 peratus anggota polis, tentera dan pasangan keluar menjalankan tanggungjawab mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran dibuka bermula 8 pagi bagi proses pengundian awal di PRN Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button