Pendapat

SUHAKAM ingin iktiraf ‘gender ketiga’?

Rasulullah larang perbuatan menzahirkan jantina yang mengelirukan

1. TINDAKAN SUHAKAM yang menawarkan ruang penyelidikan dalam usaha mengiktiraf Gender Ketiga di Malaysia sangat menghairankan. Kajian tersebut seakan satu usaha untuk pengiktirafan gender ketiga iaitu golongan transgender yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

2. Mungkin akan ada yang berkata: “Ini hanyalah sebuah kajian.” Namun pernyataan Dapatan Kajian (Research Outcome and Deliverables) dalam proposal penyelidikan tersebut jelas menyebutkan mengenai usaha untuk memberikan cadangan (recommendations) kepada pihak kerajaan untuk pengiktirafan Gender Ketiga iaitu kumpulan Transgender.

3. Usaha pihak SUHAKAM untuk menjalankan kajian untuk mengiktiraf golongan transgender ini adalah bertentangan dengan syariat Islam dan norma budaya di tanah air ini. Dalam Islam, Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita begitu juga sebaliknya. Sabda Rasulullah :

لَعَنَ اللهُ المُتَشَبهِينَ مِنَ الرّجالِ بالنّسَاءِ، وَالمُتشبِهاتِ مِن النّسَاءِ بالرّجَالْ

“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari).

3.1 Perlakuan seorang lelaki untuk menyerupai wanita sahaja telah dilaknat Allah, apatah lagi andai sekiranya seseorang itu tidak berjantina lelaki mahupun wanita? Apakah jantina ketiga ini?

4.  Dari satu aspek, penyelidikan pihak SUHAKAM untuk mengiktiraf gender ketiga ini sangat mirip dengan kerangka pemikiran barat yang melaungkan kerosakan ini melalui slogan hak asasi manusia. Bagaimana kerangka dan acuan pemikiran barat ini ingin diterapkan di Malaysia yang menjunjung Islam sebagai agama persekutuan?

5. Dalam menangani isu ini, Rasulullah melarang segala perbuatan yang menzahirkan jantina yang mengelirukan, yang tidak lelaki dan tidak seperti wanita. Malah Rasulullah melaknat mereka yeng berpakaian bercanggah dengan jantina asal mereka. Sabda Rasulullah:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

“Rasulullah melaknat lelaki yang berpakaian wanita dan wanita yang berpenampilan dengan pakaian lelaki.” (HR Abu Daud)

6. Andai berpakaian dengan pakaian dengan jantina yang bertentangan dengan jantina asal pun telah dilarang, apatah lagi mengiktiraf dan mewujudkan jantina baharu yang jelas bertentangan dengan syarak.

7. Kerosakan sebegini haruslah ditegur. Saya menyeru kepada pihak berautoriti agar menilai semula penyelidikan yang ingin dijalankan oleh pihak SUHAKAM ini. Mari bersama MACSA dalam membantah penyelidikan untuk mengiktiraf golongan gender ketiga ini melalui petisyen ini:

http://chng.it/gWdqThr2

http://chng.it/gWdqThr2

http://chng.it/gWdqThr2

8. Adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk mencegah tindakan mengiktiraf kemungkaran. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah:

ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Semoga Allah membimbing kita.

Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button