Berita Utama

Wakaf instrumen kewangan sosial Islam: Raja Muda Perlis

Mampu memberikan impak ekonomi dan sosial kepada ummah

KANGAR, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Wakaf merupakan satu daripada instrumen dalam kewangan sosial Islam yang mampu memberikan impak ekonomi dan sosial kepada ummah.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah potensi wakaf cukup besar untuk dikembangkan dan ia sesuai dengan keperluan semasa.

“Wakaf mempunyai jangkauan yang sangat luas sama ada dari sudut sumber penyumbang dana mahupun dari aspek penerima manfaat,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sesi pembukaan ‘Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Perlis’ yang dianjurkan dalam talian oleh MAIPs bersama Yayasan Waqaf Malaysia serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah Majlis Agama Islam di setiap negeri yang telah diberikan amanah sebagai Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf harus diberikan kepercayaan penuh dalam melaksanakan fungsi dan peranannya seiring dengan peruntukan undang-undang yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

Baginda berharap webinar ini dapat memberikan gambaran jelas berkaitan pengurusan wakaf yang dilaksanakan dengan penuh amanah dan berdedikasi oleh Majlis Agama Islam Negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button