Berita Utama

Dong Zong umpama duri dalam daging

Mana-mana pertubuhan perlu terikat dengan Perlembagaan Malaysia

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong bukan sahaja duri dalam daging, bahkan ibarat gunting dalam lipatan – susulan kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, meskipun Dong Zong ditubuhkan dengan kebenaran undang-undang Malaysia, tetapi pertubuhan itu memperjuangkan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Justeru, beliau menyarankan supaya Dong Zong atau mana-mana pertubuhan perlu terikat dengan Perlembagaan Malaysia.

“Mereka boleh mengkritik kerajaan tetapi bukan menentang peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Katanya, kerajaan juga perlu tegas terhadap mana-mana pertubuhan yang membawa negara ke arah perkara yang boleh merosakkan keharmonian sama ada dalam jangka pendek atau panjang.

“Rakyat sudah jemu dengan tindakan berbolak balik kerajaan terhadap isu UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), sekolah vernakular dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Dong Zong kononnya kesal dengan pendidikan negara yang terperangkap dalam sistem yang bersifat tunggal.

Pengerusinya, Tan Tai Kim mendakwa, setiap aliran pendidikan kononnya kaya dengan ciri-ciri kepelbagaian dalam masyarakat.

Dakwanya, kewujudan pendidikan Cina dan sekolah aliran berlainan mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat.

Tai Kim mendakwa, sehingga kini, Malaysia adalah sebuah negara dengan kepelbagaian, namun terperangkap dalam sistem negara yang bersifat tunggal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button