Berita Utama

Fokus usaha tamatkan pandemik, bukan agenda tukar kerajaan

BERJASA junjung titah Agong segerakan sidang Parlimen demi rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Parti BERJASA menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Titah itu jelas menunjukkan baginda sangat prihatin dengan nasib negara dan rakyat daripada pelbagai peringkat ketika tempoh krisis pandemik ini, kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.

Justeru, beliau meminta persidangan Parlimen – sebagaimana dizahirkan Al-Sultan Abdullah – disegerakan supaya dapat memastikan proses semak dan imbang berlaku terhadap setiap polisi serta dasar kerajaan.

“Membuka sidang Parlimen dan menamatkan darurat boleh memberi kestabilan politik kepada negara.

“Terlalu banyak kecaman dan kritikan yang diterima oleh pihak kerajaan saat ini, tetapi seluruh ahli Parlimen haruslah bersiap siaga dan bersama berusaha memperbaiki keadaan semasa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Serentak itu, Ustaz Zamani mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak mencetuskan sebarang kekalutan politik sekiranya Parlimen dibenarkan kembali bersidang dalam masa terdekat.

Beliau meminta semua anggota Dewan Rakyat untuk memberi fokus kepada usaha membawa negara keluar daripada pandemik, dan bukan memikirkan agenda untuk menukar kerajaan atau individu layak menjadi Perdana Menteri.

“Dalam situasi sekarang memang Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan yang kukuh, namun pada masa yang sama tiada satu komponen parti dikatakan kuat kerana tidak ada pun kuasa dominan.

“Oleh itu, tindakan mendahulukan kepentingan rakyat yang semakin terhimpit mesti diutamakan berbanding agenda parti,” katanya.

Beliau menggesa semua pimpinan parti supaya mengambil pendekatan matang dan bersabar sehingga tiba tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebaik sahaja situasi wabak COVID-19 di Malaysia pulih.

“PRU15 itulah peluang setiap parti memfokuskan agenda kepartian untuk menang dan menjadi kerajaan,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar serta agensi kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan pandangan bahawa perlu ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button