Berita Utama

ISMA syor kerajaan segera tamatkan darurat bila pandemik pulih

Guna istilah lebih tepat ganti darurat supaya tak kelirukan rakyat

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu semalam.

Serentak itu, Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni mengesyorkan kerajaan segera menamatkan darurat apabila keadaan pulih atau selamat.

Selain itu, kerajaan juga dicadangkan menggunakan istilah yang lebih tepat menggantikan istilah darurat supaya ianya tidak mengelirukan rakyat.

Ustaz Fauzi turut menyuarakan saranan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin dalam apa-apa bentuk yang sesuai dengan mengambil kira langkah keselamatan dan pematuhan prosedur yang ketat.

“Kerajaan berusaha sepenuhnya untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar mencapai matlamat 80 peratus imuniti kelompok.

“ISMA berharap agar pihak kerajaan dan seluruh rakyat dapat mengambil sikap dan langkah yang selari dengan titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan Selasa lalu dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Baginda turut menzahirkan pandangan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button