Berita Utama

Jadilah rakyat setia kepada Agong

Teguran, nasihat perlu dilakukan secara baik dan berhemah

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Amanah dan tanggungjawab menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang mudah dan ianya terlalu berat, kata Dr Zahariah Sahudin dan Mohd Nazrul Mohd Amin.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berkata, bukan semua orang mampu menggalas tanggungjawab besar dipikul itu.

Tambahan pula, kata mereka, antara tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong termasuk menjaga keamanan setiap negeri dalam negara yang berada di bawah jajahan, menjaga keselamatan setiap rakyat dalam negara, memastikan kebajikan dan menjaga kepentingan rakyat dan pelbagai perkara lagi yang harus ditadbir urus.

“Selain harus mengambil tahu segala hal ehwal yang terjadi dalam negara, Yang di-Pertuan Agong juga menjadi ketua agama Islam, pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga bertanggungjawab melindungi serta menjaga kepentingan hak semua kaum di Malaysia.

“Raja juga menjadi sumber penghormatan dan kebesaran negara,” kata mereka menulis di Berita Harian hari ini.

Pada masa sama, mereka berkata, terdapat segelintir rakyat tidak faham atau buat-buat tidak faham dengan konsep itu.

Mereka menyifatkan perkara itu sangat mengecewakan, sekali gus menimbulkan banyak persoalan dan permasalahan dalam kalangan rakyat.

Sebagai bukti, kata mereka, baru-baru ini negara digemparkan dengan beberapa individu yang menghina, mengejek, mempersenda dan memperlekehkan institusi beraja melalui hantaran di media sosial,

“Jika difikirkan mengikut logik akal, tidak ada sebab dan tidak berhak memungkinkan seorang yang bergelar manusia untuk menghina dan mempersendakan orang lain, apatah lagi jika penghinaan, ejekan dan sendaan bertujuan untuk memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong yang berkorban melindungi dan menjaga keamanan negara.

“Hakikatnya, dalam semua agama kita digalakkan untuk berbuat baik sesama manusia tidak kira sama ada kanak-kanak mahupun orang yang lebih tua daripada kita.

“Jika ingin dihormati, kita haruslah terlebih dahulu menghormati orang lain. Itu prinsip yang harus dipegang,” kata mereka.

Mengulas perkara sama, Dr Zahariah dan Mohd Nazrul berkata, kemungkinan mereka berhasrat menasihati baginda, namun tersalah adab.

Mereka berkata, teguran dan nasihat sepatutnya dilakukan dengan cara yang baik dan berhemah.

Rakyat Malaysia terkenal dengan adat dan budi bahasa yang tinggi. Janganlah kerana kesilapan ini, kita dicop dengan gelaran yang tidak manis dan tidak sedap didengar.

“Dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, sudah sedia termaktub bahawa raja adalah ketua utama negara kita (yang membawa gelaran Yang di-Pertuan Agong) yang dipilih secara giliran dalam kalangan Raja-Raja negeri lain.

“Oleh yang demikian – bagi seseorang yang ingin kekal menjadi rakyat Malaysia – selain wajib mematuhi semua 183 perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka hendaklah taat dan setia kepada ketua negara iaitu raja. mereka.

“Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya kita menjadi rakyat yang taat setia dengan memberi sepenuh sokongan dan kasih sayang kepada Yang di-Pertuan Agong supaya baginda sentiasa kekal dahulu, kini dan selamanya,” kata mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button