Berita Utama

Jangan mudah terima maaf golongan celupar hina Islam

Tidak wajar sensitiviti umat Islam dijadikan gurauan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Tindakan pihak tertentu – khususnya golongan muda bukan muslim – menyentuh sensitiviti umat Islam sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Kejadian seumpama itu dikhuatiri akan menghancurkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan berkata, perkara-perkara sensitif bagi umat Islam seperti penggunaan nama Allah, nabi-nabi serta syiar-syiar Islam seharusnya dihormati dan tidak dijadikan bahan permainan mahupun gurauan.

Tegasnya, tidak wajar bagi sesiapapun menggunakan perkataan Allah mahupun lafaz-lafaz mulia azan dalam bentuk yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Islam.

“Tindakan ini menggambarkan apa yang tersembunyi dalam hati dan pemikiran mereka.

“Jika ini boleh berlaku ketika negara yang masih didominasi oleh orang Islam, maka apakah musibah yang bakal berlaku sekiranya dominasi ini jatuh ke tangan mereka?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Berikutan itu, Dr Kamsani menggesa supaya umat Islam tidak terlalu mudah menerima alasan mahupun permohonan maaf dari golongan yang celupar itu.

Beliau menegaskan, sikap toleransi seharusnya ada batasan, justeru pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan menyentuh sensitiviti agama.

“Lebih-lebih lagi terhadap tindakan-tindakan yang menyentuh kesucian dan kemuliaan Islam yang merupakan perkara paling penting bagi umat Islam.

“Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap kejadian penghinaan ini sebagai pengajaran dan memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” tegasnya.

Terdahulu, tular beberapa video dan gambar sekumpulan penghantar makanan mengejar seorang lelaki yang mempersendakan nama Allah sebagai nama samarannya ketika memesan makanan.

Lelaki berusia 29 tahun yang juga pelanggan kepada penghantar makanan tersebut dipukul dipercayai mencetuskan sensitiviti agama.

Tidak lama selepas itu, satu rakaman video berdurasi 31 saat menunjukkan beberapa lelaki kelihatan seperti mempersenda azan dan ayat suci al-Quran tular di media sosial.

Bagaimanapun, tiga lelaki yang dipercayai terlibat rakaman video itu telah memuat naik rakaman video mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan dan meminta maaf kepada seluruh umat Islam Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button