Berita Utama

Kajian ‘gender ketiga’ SUHAKAM melampaui norma masyarakat

Nilai semula peranan SUHAKAM demi keharmonian negara

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kerajaan perlu segera menilai kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) demi keharmonian negara.

Menyuarakan desakan itu, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, sekiranya kewujudan SUHAKAM lebih membawa mudarat kepada semua pihak adalah lebih baik dibubarkan.

Atau katanya, boleh diganti barisan pimpinannya dengan individu yang berjiwa negarawan, agamawan dan berwibawa.

Katanya, menjadi tanda tanya seluruh rakyat Malaysia apabila pada 14 Jun yang lalu, SUHAKAM dengan terang tanpa bersuluh mencari penyelidik untuk mengkaji berkaitan gender ketiga hingga ke tahap boleh memungkinkan pengiktirafan terhadap golongan ini berlaku.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang melampaui norma kehidupan masyarakat di Malaysia bahkan seperti tidak menghormati agama Islam sebagai agama yang tertinggi di dalam Perlembagaan.

“Dan semalam, Pesuruhjaya SUHAKAM pula mengeluarkan kenyataan bahawa ini adalah salah faham sahaja dan diminta untuk mereka bebas meneruskan kajian tersebut.

“Melihat kepada keberanian ini, kita tidak merasa terkejut kerana inilah orang sama yang pernah dalam sejarah memperjuangkan golongan lelaki transgender untuk berpakaian wanita.

“Kurangnya sensitiviti pimpinan badan kerajaan terhadap pandangan agama dalam apa jua pembentukan polisi akhirnya boleh sahaja mengakibatkan tindakan sebegini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Zamani meminta SUHAKAM melihat semula objektif sebenar penubuhan agensi tersebut di mana mereka perlu fokus kepada pencerobohan hak asasi manusia yang sebenar tanpa perlu mengotorinya dengan agenda yang mengarut ini.

Katanya, SUHAKAM sepatutnya peka dengan adat resam dan budaya di Malaysia yang sama sekali tidak akan dipersetujui oleh segenap lapisan masyarakat.

“Pengiktirafan hak jantina ketiga ini boleh jadi membawa kepada perlakuan jenayah hubungan sejenis mengikut (377A dan 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah – Wilayah Persekutuan 1997).

“Jadi, masih relevankah peruntukan diberikan kepada penubuhan agensi ini sekiranya masih gigih dan terlebih vokal dalam memperjuangkan perkara sebegini?

“Seandainya kajian dan proses seterusnya diluluskan dan tidak dicabar, kita khuatir lebih banyak yang luar dari batas akan menjadi tuntutan golongan LGBT atas nama kebebasan hak asasi,” katanya.

Atas dasar itu juga, beliau meminta kerajaan tegas memandang perkara ini sebagai satu musibah yang melanda negara.

“Kebebasan yang mengikut pandangan Barat adalah satu perkara yang melampau sehingga boleh mengubah identiti negara bahkan jati diri generasi kita. Bertindaklah sebelum terlambat.

“BERJASA merasakan sepatutnya pihak kerajaan turut merasai keterlanjuran SUHAKAM ini. Apakah faedah yang diperolehi oleh negara setelah memperuntukkan dana yang cukup besar. Oleh itu, menilai semula SUHAKAM perlu disegerakan demi keharmonian negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button