Berita Utama

Kerajaan akan ambil langkah susulan titah pandangan Agong

Langkah diambil berdasarkan Perlembagaan, undang-undang negara

KUALA LUMPUR, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sebagai menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, menyebut kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.

“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya selain itu, ia turut melibatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain berkaitan.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan kerajaan perlu bertindak tegas mempercepat proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dicapai seawal mungkin.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan pandangan berkenaan setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘jalan keluar’ bagi mengawal penularan wabak itu di negara ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button