Kerajaan komited basmi kemiskinan, beri bantuan bersasar: Mustapa
Isu kemiskinan sukar ditangani terutamanya ketika pandemik
KUALA LUMPUR, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan dan sedang berusaha untuk memusatkan data berkenaan perkara itu bagi membolehkan bantuan bersasar diberikan kepada segmen ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak ada satu penyelesaian yang sesuai bagi semua orang untuk usaha pembasmian kemiskinan dan kerajaan bertanggungjawab dari segi moral untuk membasmi kemiskinan terutamanya dalam kalangan miskin tegar.
“Ia adalah isu yang kompleks. Terdapat beberapa masalah data dan penambahbaikan telah dilakukan. Kami berusaha sedaya upaya untuk memusatkan data kerajaan agar kami boleh mengaturkan bantuan bersasar.
“Akan ada kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan sektor swasta. Saya akan menubuhkan ‘poverty circle’yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya semasa ucapan penutup beliau pada Webinar Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) yang diadakan hari ini.
Mustapa berkata, isu kemiskinan adalah satu perkara yang sukar untuk ditangani terutamanya semasa pandemik COVID-19.
Pada Julai tahun lepas, Jabatan Perangkaan mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan Malaysia telah disemak semula kepada RM2,208 daripada RM980 berdasarkan kepada pengiraan daripada metodologi 2019.
Mustapa berkata, kerajaan sedang memuktamadkan Reviu Nasional Sukarela yang dijangka dibentangkan di Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 15 Julai.
Menurutnya, laporan itu mengetengahkan kejayaan dan beberapa cabaran dalam mencapai SDG tetapi Malaysia telah mencatatkan prestasi yang baik dalam pembasmian kemiskinan.
“Kita telah melakukan dengan baik dalam membasmi kemiskinan tetapi perjuangan masih panjang kerana ia diburukkan lagi oleh keadaan pandemik sekarang. Kita perlu mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya. -Bernama