Berita Utama

Masih ada kilang bolos beroperasi punca kluster tempat kerja meningkat

Sejauh mana premis patuh peraturan operasi dan penempatan pekerja

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Siasatan terperinci perlu dibuat dengan mengambil kira undang-undang sedia ada ke atas majikan dan pengusaha kilang yang melanggar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mencetuskan peningkatan kluster.

Langkah itu bagi membolehkan hukuman lebih tegas ke atas mereka, selain memberi pengajaran kepada industri-industri untuk bertanggungjawab atas kesan pelanggaran itu kepada masyarakat dan negara.

Demikian tegas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ihsanuddin Abbas yang kesal dengan peningkatan kes kluster tempat kerja kebelakangan ini.

Setakat 14 Jun – dalam tempoh dua minggu PKP 3.0 dilaksanakan – sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan, di mana sektor perkilangan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 639 kluster (195,156 kes).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pekerja warga asing menjadi penyumbang tertinggi kluster dengan 68 peratus (100,086 kes) dan 32 peratus lagi membabitkan pekerja tempatan.

Merujuk laporan untuk tempoh dua minggu itu, Dr Ihsanuddin kecewa apabila peningkatan kluster kilang dan tempat kerja berlaku tatkala kes kluster dalam kalangan komuniti telah mula menurun.

“Kementerian Perusahaan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) beberapa kali menyatakan telah menyaring hanya industri perlu tertentu yang dibenarkan beroperasi (ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0).

“Namun begitu, kelihatan banyak lagi (kilang dan perniagaan) yang bolos dan tetap mengarahkan pekerja-pekerja bekerja seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemain industri bukan sahaja melanggar arahan MKN, bahkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang mewajibkan majikan menjaga keselamatan pekerja daripada jangkitan wabak supaya tidak menular ke dalam komuniti.

Malah, katanya, isu kluster kilang juga perlu dilihat dari aspek undang-undang tempatan, berhubung sejauh mana premis itu mematuhi peraturan operasi dan penempatan pekerja.

“Selain itu, sistem pengurusan pekerja-pekerja asing juga perlu dikaji semula kerana ada vendor-vendor yang mengambil pekerja asing tanpa mempunyai maklumat kesihatan yang cukup, semata-mata untuk memenuhi permintaan kilang atau syarikat besar.

“Ini pastinya akan menyukarkan pengurusan kesihatan KKM mengenal pasti risiko penyakit, khususnya penyakit berjangkt semasa membuat kawalan dan pencegahan di premis-premis berkaitan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button